Wednesday, May 23, 2012

Aku, MBA dan...

SEPARUH
Bukan mudah untuk menggapai apa yang kita impikan. Kadang-kala kita mungkin tersungkur, dan ada masanya kita kelu tanpa bicara pabila berdepan dengan cabaran dan dugaan.

Perjalanan yang dimulakan mungkin atas dasar kepentingan diri sendiri, namun akhirnya aku sedar ianya memberi aku makna yang besar dalam menempuh alam kedewasaan.

Dalam perjalanan yang SEPARUH itu, bermacam ragam manusia aku perhatikan tatkala berhubung dengan mereka. Tidak kurang dengan warga pendidik yang sebahagiannya hanya berlakon sebagai 'alas kain penutup lompong' penjual makanan dalam mencurah ilmu yang bukan 'menu' utama mereka untuk disuapkan ke mulutku.

Di selekoh perjalanan itu, aku terbabas ketepian dan terdampar kaku. Kulihat kiri dan kanan, sunyi. Tiada yang tiba menghulur tangan meringankan beban, mungkin
jalan tersebut bukan jalan untuk mereka maka aku mula pasrah tanpa ikhlas.

PERCAYA
Hati ini pasti pedih jika gagal bertemu 'jalan kegembiraan' yang ditujui. Hendak percaya pada keadaan tapi hati menafikannya tanpa bertanya pada akal. Mungkin sudah tidak percaya pada akal, maka dengan mulut pula hati berkawan. Mulut melafazkan benci tanpa segan silu dan mencerca akal yang tidak membantu sehingga hati gagal menemui jalan sebenar. Hati percaya pada mulut yang tegas bangkit melindungi hati yang kian rapuh.

Perjalanan diteruskan kerana hati percaya pada mulut, namun akhirnya iman yang menegur hati dan mulut untuk kembali ke pangkal jalan. Mulut menjadi kelu bertemu dengan iman dan terus mengundur diri. Iman membawa hati bertemu pada Pencipta yang Esa untuk memulihkan hati yang lara.

Oleh kerana hati sudah kembali dan bangkit dari kegagalan, maka diriku perlahan- lahan pulih dan PERCAYA setiap yang berlaku bukanlah salah sesiapa cuma hati tersesat mencari jalan yang sebenar.

JANJI
Selepas separuh perjalanan dan percaya pada diri, JANJI pula perlu disemat sebagai pencetus revolusi hidup. Usaha perlu digandakan lebih dari biasa agar kelak hati tidak kecewa lagi.

Bukan khayalan tapi ianya adalah janji pasti ditepati. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih bak kata pepatah Melayu. Langkah pertama mungkin agak berat, namun sedikit demi sedikit alah bisa tegal biasa. Semoga kita bersama-sama peroleh kejayaan dan kebahagiaan yang diimpikan selama ini. InsyaAllah~




-Posted from my iPad

Super Sharing..!!!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails